BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, November 6, 2009

Solat

Solat Itu Ada Waktu Mula dan Waktu Tamat

Solat adalah salah satu daripada rukun Islam. Ianya adalah rukun agama. Menunaikannya ibarat mendirikan agama, meninggalkannya ibarat meruntuhkan agama. Solat perlu dilakukan di dalam waktunya. Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 103:

إِنَّ الصَّلاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا

Sesungguhnya solat itu (difardhukan) ke atas orang-orang Mukmin di dalam kerangka waktu tertentu.

Waktu solat Subuh bermula apabila terbitnya fajar sadiq, dan tamat ketika terbit matahari.

Waktu solat Zohor bermula apabila gelincirnya matahari daripada garisan tegak di langit. Mudahnya, sekiranya ada tiang, pada waktu tengahari, selepas tiang itu tiada bayang ketika matahari tegak di kepala, timbul bayang-bayang ke barat, maka itu tandanya masuk waktu Zohor. Waktu tamatnya pula ialah apabila bayang-bayang tiang tadi sama panjang dengan tiang tersebut.

Waktu solat Asar pula bermula apabila bayang-bayang tiang tadi mula melebihi panjang asal tiang berkenaan. Waktu tamatnya pula ialah ketika terbenam matahari.

Waktu Maghrib pula ialah ketika terbenam matahari, dan tamat apabila semua cahaya kemerahan atau cahaya senja daripada benamnya matahari tadi telah hilang.

Waktu Isya’ pula ialah ketika hilangnya cahaya kemerahan senja Maghrib tadi, sehingga terbitnya fajar sadiq.

Apa yang perlu diberikan perhatian di sini ialah, waktu tamat Subuh berbeza dengan waktu tamat solat fardhu yang lain. Waktu tamat solat lain ialah waktu bermula solat seterusnya, akan tetapi waktu tamat solat Subuh bukan dengan masuknya waktu Zohor, sebaliknya ketika terbit matahari.

Keutamaan Solat di Awal Waktu

Di dalam kitab fiqh Mazhab Shafie, dinyatakan yang waktu solat itu terbahagi kepada empat:

1. Waktu afdhal (utama), iaitu pada awal waktu.
2. Waktu ikhtiar (pilihan), sepertiga awal waktu.
3. Waktu jawaz (dibenarkan), sehingga tamatnya waktu solat.
4. Waktu haram, iaitu didirikan di penghujung waktu sehingga tidak sempat menyempurnakan raka’at salat. Sekurang-kurangnya Muslim perlu menyempurkan satu raka’at pada waktunya.

Hujjah kepada afdhalnya solat di awal waktu ini adalah termaktub di dalam beberapa potong hadith, antara seperti hadith riwayat Abdullah bin Mas’ud di dalam Sahih Bukhari dan Muslim:

سألت رسول الله -صلى الله عليه وسلم-: أي العمل أفضل؟ قال: الصلاة على وقتها. قلت: ثم أي؟ قال: بر الوالدين. قلت: ثم أي؟ قال: الجهاد في سبيل الله

Aku bertanya kepada Rasulullah SAW, apakah amalan yang paling afdhal. Sabda Nabi, solat pada waktunya. Aku bertanya lagi, selepas itu? Jawab nabi, berbuat baik kepada ibu bapa. Aku bertanya lagi, kemudian apa? Jawab Nabi, berjihad fi sabilillah.

Ada sebahagian ulamak yang menyatakan bahawa hadith ini tidak memberikan petunjuk mengenai keutamaan solat di awal waktu. Ini kerana hadith itu menyebut, solat pada waktunya sahaja, tanpa menyebut perkataan AWAL. Justeru, selagi mana kita solat di dalam waktunya, selagi itu ianya termasuk di dalam sebaik-baik amalan.

Secara peribadi, saya kurang bersetuju dengan pandangan ini. Ini kerana hadith di atas turut diperkukuhkan dalam sepotong hadith riwayat al-Tirmizi dan al-Hakim:

أفضل الأعمال الصلاة في أول وقتها

Sebaik-baik amalan ialah solat pada AWAL waktunya.

Hadith ini dianggap sahih oleh ramai muhaddithin, termasuklah Sheikh al-Albani. Dan ramai ulamak menggunakan hadith ini untuk menyatakan keutamaan solat di awal waktu. Selain itu, menyegerakan solat juga adalah tanda kita menyegerakan perlaksanaan arahan Allah. Ini adalah antara tanda wara’ seseorang Muslim.

Perlu diperingatkan, yang tergopoh-gapah untuk menyegerakan solat di awal waktu boleh merencatkan khusyu’ solat. Begitu juga bagi yang berpegang kepada pandangan tiada keutamaan solat di awal waktu, sebaliknya hanya di dalam kerangka waktunya sahaja, ini tidak bermakna yang solat itu lebih utama didirikan di akhir waktunya.

Melewatkan Solat Subuh, Zohor dan Isya’ Lebih Afdhal?

Di sana, ada perbahasan mengenai keutamaan solat Isya’ di akhir waktunya. Ini berdasarkan hadith hasan sahih yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi:

لولا أن أشق على أمتي لأمرتهم أن يؤخروا العشاء إلى ثلث الليل أو نصفه

Kalaulah tidak diberati kepada umatku, nescaya aku akan menyuruh mereka melewatkan solat Isya’ pada sepertiga terakhir malam atau seperduanya.

Hadith ini kadang-kadang dimanipulasi untuk memuaskan nafsu sebahagian Muslim melewatkan solat Isya’. Ini adalah tindakan tidak bertanggungjawab terhadap nas. Menurut Ibn Hajar, keutamaan melewatkan solat Isya’ itu ialah bagi kumpulan Muslim yang memang mempunyai kekuatan dan melazimi menunaikan solat Isya’ secara berjemaah pada sepertiga atau seperdua terakhir malam. Sekiranya kumpulan Muslim ini tidak wujud, atau sekiranya seorang sahaja yang mempunyai kekuatan itu, maka adalah lebih utama untuk didirikan solat Isya’ berjemaah pada awal waktu. Hadith ini juga boleh digunakan sebagai kebenaran untuk melewatkan solat Isya’ kerana kuliah maghrib atau kuliah pengajian.

Mengenai solat zohor pula, ada sepotong hadith di dalam Sahih Bukhari yang bermaksud:

Apabila cuaca panas terik, maka tunggulah redup dulu untuk solat Zohor. Sesungguhnya kepanasan itu ialah hembusan neraka.

Menurut mazhab Shafi’e, dibenarkan untuk melewatkan Zohor sehingga cuaca menjadi redup. Kebenaran ini adalah tertakluk kepada cuaca panas, dan ketika masih di dalam kerangka waktu Zohor. Bagi yang melewatkan solat Zohor kerana menunggu redup, tidak luput pahala keutamaan solat di awal waktu. Hikmah utama di sebalik hadith ini ialah galakan untuk mencari suasana yang boleh menghadirkan khusyu’ di dalam solat.

Mengenai solat subuh pula, hanya ada satu pandangan minoriti di dalam mazhab Hanafi yang menyatakan tiada masalah untuk melewatkan solat Subuh di hujung waktunya, ketika hampir naik matahari. Ini berdasarkan sepotong hadith riwayat Ahmad, Tirmizi dan an-Nasa’ie yang menganjurkannya. Akan tetapi majoriti ulamak hadith mendo’ifkan hadith tersebut. Dan ulamak Hanafi yang menerima hadith ini turut menyatakan hikmahnya, iaitu untuk menggalakkan lebih ramai umat Islam solat subuh secara berjemaah di masjid. Sekiranya melewatkan subuh tanpa sebab, maka tidaklah termasuklah di dalam perbincangan ini.

Kesimpulan.

1. Solat di awal waktu adalah afdhal berbanding melewatkannya.

2. Kebenaran melewatkan solat adalah dengan sebab-sebab dan keuzuran yang tertentu. Sekiranya melewatkan kerana malas, berkuranganlah pahala solat.

3. Menunaikan solat pada awal waktu adalah tanda umat Islam yang tersusun jadual hidupnya, serta bersungguh-sungguh menunaikan arahan Tuhannya.

0 comments:

Followers

mari maen kire-kire ^_^

Powered By Blogger

tempat ngumpat ^_^


ShoutMix chat widget